Perjanjian Kerjasama ( MoU) Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM & Biro-Biro Kebudayaan Mahasiswa Tiong Hua, India & Sabah/Sarawak UTHM

Perjanjian Kerjasama ( MoU) Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM & Biro-Biro Kebudayaan Mahasiswa Tiong Hua, India & Sabah/Sarawak UTHM


Artikel Mengenai MoU, Politik Kampus & Politik Semasa Dari Sudut Pandangan Penulis

Betapa pada tarikh bersejarah 29 Ogos 2010 ( Ahad) bersamaan pada 19 Ramadan 1431 Hijrah , kejayaan pertama dalam usaha untuk menunjukkan kepada masyarakat kampus bahawa masih ada harapan bagi perpaduan antara kaum di negara tercinta kita  Malaysia . Saya juga telah membuktikan bahawa kata-kata saya sebelum ini bukan sekadar retorik semata-mata, Usaha saya bagi membawa semua wakil yang mewakili kaum di kampus ini bagi satu usaha ke arah  perpaduan di anggap telah berjaya dan ini hanya merupakan langkah pertama. MoU ini juga menunjukkan tahap kematangan mahasiswa/i iaitu  sanggup untuk duduk semeja dan menantangani sebuah PERJANJIAN PERSEFAHAMAN ( MoU ) dalam usaha menjalin kerjasama antara kaum dalam integrasi yang akan di bentuk nanti. Proses menghasilkan Perjanjian Persefaham i ini bukanlah usaha yang mudah  di mana saya telah berusaha selama lebih kurang 3 minggu untuk berjumpa semua wakil kaum iaitu Pengerusi Biro Kebudayaan Mahasiswa Tiong Hua , Pengerusi Biro Kebudayaan Mahasiswa India dan Pengerusi Biro Kebudayaan Mahasiswa Sabah/Sarawak. Dalam usaha ini, Penerangan berkaitan MoU ini dilakukan bagi pemahaman setiap orang yang saya temui iaitu berkaitan hasrat murni saya dalam mencapai  cita-cita  untuk melihat perpaduan di kalangan mahasiswa kampus tercapai.


MoU M/S 1

Segala tohmahan dan persepsi negatif yang saya terima sepanjang usaha saya bagi menubuhkan Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM telah satu persatu saya buktikan, bagi yang telah mengenali saya, apabila saya berkata-kata, ianya akan saya laksanakan. Ramai orang boleh berkata-kata, ucapannya indah, penuh puisi yang bisa menggoda hati, tetapi haruslah ingat adakah mereka ini mampu mengotakan kata-kata mereka ini? Dan apabila di tanya banyak alasannya, hanya pandai menuding jari, mencari kambing hitam untuk di persalahkan, walhal sebenarnya tidak sanggup mengorbankan masa & tenaga kerana lantaran tuntutan peribadi. Tiada untungnya berkorban untuk orang lain, kerana tiada ganjaran dan ingatan selepas itu. Saya mengajar orang-orang seperi ini, berhenti mencari alasan dan ikhlaskan hati barulah anda dapat menikmati perjuangan anda ini. Antara kerisauan mereka adalah kerana pemikiran politik saya yang cenderung pro-kerajaan, maka di tuduhnya saya ini membawa politik kepartian dalam kampus, jawapan saya dalam persoalan ini ialah Gagasan 1 Malaysia ini di war-warkan oleh PM sendiri sebagai Ketua Kerajaan Malaysia yang di pilih secara sah maka tidaklah salah  kita sebagai rakyat untuk menterjemahkan Gagasan ini di lapangan kita sendiri. Malah menariknya gagasan ini berkonsepkan perpaduan yang di idam-idamkan rakyat Malaysia.


MoU M/S 2

Tidak nampak di mana salahnya. Belum lagi di tubuh begitu gusar dan takutnya mereka ini dengan konsep yang ingin saya bawa. Hari ini saya telah membuktikan kepada mereka bahawa usaha saya ini bukan seperti yang mereka gambarkan , malah yang lucunya mereka ini sebelum ini tidak pernah berbuat apa-apa untuk kemajuan perpaduan atau khususnya Sekretariat Perpaduan. Tetapi apabila saya bawa sahaja usul 3 bulan yang lepas untuk tubuhkan kelab ini, melompatlah mereka di atas kerusi dan marahkan saya kenapa tidak menjadikan Platform Sekretariat sahaja dalam usaha perpaduan. Tuan-tuan yang saya hormati, niat saya baik dan kenapa tuan-tuan terlompat seperti monyet apabila saya ingin membawa isu perpaduan ini, tidakkah pelik di lihat manusia lain iaitu tuan-tuan akur sebelum ini mengatakan tiada apa-apa usaha dalam menyatupadukan sekretariat ini, bila saya majukan usul , tuan-tuan tidak boleh marah kerana tuan-tuan langsung tidak berbuat apa-apa sebelum ini. Jangan marahkan saya bila saya mulakan usaha ini!! Marah??? Nanti kena jual......  


MoU M/S 3

Ada sesetengah pihak dalam usaha provokasi  bertanya kepada saya kenapa tidak menyatukan mereka semua menggunakan Sekteriat Perpaduan sahaja. Jawapan saya mudah,

" Tidakkah anda melihat selama ini Sekteriat Perpaduan hanya atas nama, setiap biro hanya menjayakan aktiviti-aktiviti & program-program mengikut kaum mereka sendiri? "

" Saya tidak menyalahkan biro-biro ini kerana tiada pihak yang ingin menyelaraskan mereka semua, dalam pertemuan saya secara peribadi dengan wakil-wakil mereka ini, tiada pihak selama ini yang memimpin Sekretariat Perpaduan, mereka sendiri tertanya-tanya kepada siapa harus mereka untuk berjumpa dalam usaha perpaduan dalam Sekretariat ini"
 

MoU M/S 4

" Adalah tidak manis kalau saya secara tiba-tiba datang dan menawarkan diri menjadi Pengerusi Sekretariat ini walhal saya tidak pernah menyertai mereka sebelum ini. Sebenarnya melalui Platform Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM ini menjadi titik pertemuan saya bagi membawa mereka semua duduk dalam satu meja bagi memperjuangkan perpaduan di kampus. Sebenarnya tanpa biro-biro ini, Kelab ini tetap kukuh kerana organisasi ini terdiri daripada semua kaum, malah saya telah awal-awal lagi menyediakan 3 Naib Presiden bagi mewakili kaum-kaum ini. Tetapi harus diingat sekuat manapun kita, jangan kita syok sendiri dan mendabik dada dan meninggalkan sahabat-sahabat lain di belakang. Kerana ini saya bertegas untuk membawa biro-biro ini ke dalam satu persefahaman iaitu PERJANJIAN PERSEFAHAMAN ( MoU) yang saya sendiri rangka dan bentang dalam perjumpaan peribadi."


MoU M/S 5

Walaupun reaksi pada mulanya agak perlahan kerana persepsi yang sedia wujud. Yang pertamanya saya fikir kesan-kesan provokasi sebelum ini yang di lemparkan kepada saya mengenai penubuhan Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM yang saya asaskan. Merujuk perkara ini, saya tegaskan ianya satu dasar yang baik dan bernafas baru iaitu penjenamaan semula perpaduan di negara kita. Kerana saya terdidik dalam memahami falsafah promosi , betapa peri pentingnya penjenamaan dalam menjual produk. Dalam kes ini, 1 MALAYSIA ialah penjenamaan bagi produk PERPADUAN. Sama jugalah usaha saya semasa menjadi Yang Di-Pertua UTHM Sesi 08/09 saya pernah mengesyorkan nama MPP ( Majlis Perwakilan Pelajar) di selaraskan di semua IPTA kepada MPM ( Majlis Perwakilan Mahasiswa). Tetapi tidak mendapat sambutan. Malah di kritik kerana apa gunanya tukar nama, yang penting perjuangan dan pelaksanaan pada organisasi. Di perlekehkan lagi apa guna nama MPM tetapi kerja tak jalan. Sebenarnya dalam ini, mahasiswa masih terkeliru mereka ini pelajar atau mahasiswa, ya, betul hanya sekadar nama, tetapi roh perjuangan akan lebih bertenaga sekiranya nama ini di jenamakan dengan baik. Kalaulah MPP ini sebuah produk, dan sebuah lagi produk di jual dengan nama yang lebih gah MPM, mana yang lebih mendapat sambutan? Mahasiswa harus bijak memilih, taboo yang wujud seperti pihak Kementerian, pengurusan universiti tidak berapa suka nama MPM, kerana risau mahasiswa akan menjadi lebih agresif adalah tidak boleh dipersalahkan, inilah jalan politik dalam usaha menjinakkan mahasiswa. Yang lebih terkesan kerana gerakan Pro-Mahasiswa telah menggunakan nama ini yang mewujudkan perasaan bercampur baur di kalangan pemimpin kampus untuk menerima perkataan MAHASISWA. Pelik bukan, bagi saya yang terang lagi bersuluh bukan aliran Pro-Mahasiswa masih rasional dan tidak terkesan dengan perkara ini kerana bukanlah hak ekslusif mereka bagi menggunakan perkataan ini. Takut menumpang saham? biarkanlah, bukanlah anak jantan menyorok kerana persepsi bodoh seperti ini, Fadzil Tetap Fadzil. Tidaklah lari perjuangan Aspirasi saya selama ini, di tikam, di rejam mahupun di siksa tidak sekali-kali saya khianat kepada kepercayaan saya. Berapa ramai yang ingin tahu mengenai perjuangan Pro- Asprirasi? Ramai yang berkata mereka aspirasi walhal roh perjuangan belum di fahami. Generasi pemimpin kampus turun temurun di warisi oleh pemimpin Pro-aspirasi, kualiti kepimpinan juga di tunjukkan oleh pemimpin-pemimpin ini kerana mereka ini membawa semangat dan nama baik Pro-Aspirasi. Baik maka terperilah kualitinya, buruk maka terpalitlah namanya juga. Individu itu sendiri memainkan nama baik organisasinya. Bidalan samalah perbuatan anak akan membawa nama baik buruk ahli keluarga juga. Bukankah begitu?


Majlis Tandatangan MoU

Dari kiri ;

Heavllye Suhaimin, Pengerusi Biro Kebudayaan Mahasiswa Sabah/Sarawak

Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid, Presiden Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM

Lee Chong Jeng, Pengerusi Biro Kebudayaan Mahasiswa Tiong Hua

Sathis Kumar A/L Thasnamoorthi, Pengerusi Biro Kebudayaan Mahasiswa India

Kenapa kempen memburukkan Pro-Aspirasi sedikit sebanyak meninggalkan kesan? Jawapannya mudah, kerana pemimpin-pemimpin kampus sebelum ini mewakili Pro-Aspirasi maka memang haruslah kualiti dan corak mereka akan di perhatikan. Siapa yang memimpin maka mereka juga akan di ukur. Maka suara-suara yang menentang ini bermain politik dan wayang. Kerana mereka sendiri sedar apabila habis sahaja pilihanraya kampus, maka kuasa sebenar adalah bergantung pada kualiti individu itu sendiri, bukanlah pada ideologi. Mana-mana individu tidak kira samaada Pro-A atau Pro-M sedar mereka perlu bergantung pada diri sendiri dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa/i. Hanya kerana terhutang budi maka wajarlah anda meneruskan agenda politik kampus anda, tidak ada salahnya, hanya janganlah terlalu taksub sehingga bergaduh sesama mahasiswa sendiri. Hampir-hampir saya ketawa mendengar kata-kata di mainkan, Pro-Aspirasi , boneka HEP dan kerajaan. Jadi Pro-M itu apa? boneka pembangkang. Masing-masing tarik tali. Mahasiswa bukan badut sarkas. Tidak kiralah pihak mana, selepas menang jalankan tanggungjawab. Berapa ramai pemimpin Pro-Aspirasi yang bertegang leher dalam memepertahankan hak mahasiswa/i kampus tidak pula di ungkit. Kalau yang jadi boneka HEP ini hanyalah kata-kata retorik. Bila anda terjun sendiri ke dalam kancah ini, anda akan sedar kalau anda datang untuk bergaduh yang ingin menunjukkan anda hebat sebab title MAHAsiswa, anda silap. HEP terdiri daripada manusia-manusia juga. Ada perasaan dan berhak untuk di hormati sebagai insan. Jatuhkan hukum memang mudah. Sebelum tuding jari, lihat dulu punca masalah, cukupkah sekadar laungan sahaja? Tidak. Anda harus cekap membuat keputusan dan menjayakan agenda anda. Saya percaya mana-mana perjuangan akan berjaya sekiranya anda betul-betul bertekad, bukan sekadar datang bercakap, balik cakap kita dah berjuang tetapi tak di layan. Maka saat inilah kita gunakan kebijaksanaan kita sebagai MAHASISWA, bentangkan kajian, pungutan suara, aduan-aduan, petisyen, memorandum, supaya kita tidak diperlecehkan, bukan sekadar datang dan bercakap. Anda fikir kalau anda seorang kontraktor datang untuk tawar menawar tender terbuka datang bercakap yang reputasi anda gah dan hebat tanpa ada dokumen-dokumen tender, anda rasa anda akan memenangi tender tersebut?


Bersalam-salaman Sempena Perjanjian Kerjasama ( Mou)

Seterusnya saya bawa anda ke analisa saya mengenai politik semasa, Saya lebih bersetuju tentang persepsi negetif yang dikatakan telah mencacatkan hubungan kaum hari ini terhasil daripada hasutan politikus atau ahli politik yang mahu meraih sokongan politik dari kaum masing-masing. Orang Melayu misalnya telah dihasut untuk terus menyokong UMNO atau PAS jika tidak mahu kepentingan Melayu dan Islam itu terhakis. Begitu juga dengan orang Cina dan India dihasut supaya menyokong parti yang berteraskan bangsa mereka supaya hak mereka dapat terus dipertahankan daripada dirampas oleh orang Melayu.

Hari ini orang Cina lebih gemar menghatar anak mereka ke sekolah Cina kerana bimbang hak bangsa mereka untuk mengadakan sekolah vernikular ini terhapus jika mereka memilih untuk belajar di sekolah kebangsaan. Begitu juga dengan orang Melayu merasa ekonomi mereka akan terancam oleh kaum bukan Melayu jika ekuiti mereka dimansuhkan.

Persepsi perkauman ini sukar diubah kerana ia sudah lama tertanam didalam minda kaum masing-masing. Ia memerlukan “strong political will” untuk memecah persepsi tradisi ini kerana ia sudah lama menjiwai pandangan sesuatu kaum terhadap kaum yang lain dan perubahan persepsi ini memerlukan beberapa generasi akan datang.

Bak kata pepatah, jika mahu melentur buluh biarlah bermula dari rebungnya. Malang mudah dengar, sampai ke hari ini pun kerajaan kita masih gagal melentur persepsi yang sudah menjadi buluh itu kerana kerajaan sendiri tidak mempunyai “strong political will” untuk mendidik generasi muda Malaysia ketika mereka masih rebung. Sebab itu kerajaan gagal mengatasi masaalah hubungan kaum ini kerana kegagalan kerajaan mencari root of the cause tentang permasaalahan hubungan kaum di negara kita sekarang.


Masalah hubungan kaum ini akan terus berlarutan jika kerajaan tidak berani mengambil langkah-langkah pro-aktif mengubah keadaan yang sedia ada ini ke tahap yang lebih baik. Setakad hari ini masih belum nampak usaha-usaha konkrit daripada pihak kerajaan terutama memperbaiki sistem pendidikan sekarang supaya mampu menggalakkan intrigrasi kaum di negara ini.

Mungkin masalah ini akan dapat dicarikan penyelesaian apabila orang Melayu di negara ini benar-benar bersatu dahulu. Apabila orang Melayu bersatu, satu tindakan politik secara bersama akan dapat dilakukan.

Contohnya, apabila kerajaan menetapkan yang satu sistem persekolahan sahaja diwujudkan, semua ahli politik Melayu akan menyokong. Kaum lain tidak akan berupaya untuk menentang kerana kedudukan orang Melayu yang melebihi 60% sekarang ini. Mereka terpaksa akur.

Saya tidak nampak sangat “perlunya kita bersatu” itu ada kaitan dengan kemampuan kita untuk menentukan jenis sistem pendidikan yang kita inginkan sekarang kerana bagi saya ia lebih merupakan kerana adanya pilihan yang diberikan kepada rakyat hingga rakyat terpisah dengan membuat pilihan mereka masing-masing.

Orang-orang Melayu sendiri pun jika mereka diberi pilihan mereka tidak akan bersatu memilih benda yang sama. Contohnya, dulu pun ramai ibu bapa Melayu memilih anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris kerana yakin masa depan anak mereka akan lebih terjamin, tetapi ada juga ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan mungkin kerana ciri-ciri kebangsaan mereka yang kuat menyokong perjuangan bahasa Melayu itu dan dalam masa yang sama juga ada juga ibu bapa Melayu menghatar anak-anak mereka ke sekolah Arab (sekolah agama) kerana lebih memikirkan bahagian akhirat.

Tidak ada siapa yang dapat menghalang mereka ini dari memilih mana-mana sekolah yang mereka suka jika pilihan itu sendiri sudah tersedia dan disediakan kepada mereka, oleh sebab itu maka terjadilah perpecahan dimana sebahagian anak-anak Melayu mendapat pendidikan disekolah Inggeris, sebahagian lagi mendapat pendidikan di sekolah Melayu (sekolah kebangsaan), sebahagian pula mendapat pendidikan di sekolah Arab (sekolah agama) malah ada juga segelintir mimilih ke sekolah Cina, semuanya kerana adanya pilihan untuk mereka pilih. Ini kita baru bercakap tentang pilihan yang diberikan kepada ibu bapa Melayu belum lagi pilihan untuk ibu bapa dari kaum-kaum lain.

Jika hari ini ibu bapa Melayu, Cina dan Inda berada di England, mereka tidak mempunyai pilihan sekolah berbagai-bagai aliran seperti di Malaysia melainkan sekolah Inggeris saja. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris ini jika mereka mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan dan pendidikan itu pula diberikan sama rata kepada semua rakyat tampa mengira bangsa mereka.

Di Malaysia keadaannya berbeza kerana sistem pendidikan itu sudah menjadi bahan tawar menawar politik. Hak untuk mengadakan sekolah vernikular (sekolah Cina, Tamil, Arab dsb) dianggap sebagai “hak keistimewaan” hasil dari kejayaan tuntuan politik parti-parti tertentu. Seperti juga “hak keistimewaan Melayu” dianggap sebagai kejayaan UMNO yang menuntut hak itu dimasukkan kedalam Perlembagaan negara, dan hak pendidikan vernikular ini pula dianggap kejayaan bagi MCA dan MIC sebagai timbal balas (Quid Pro Quo) kepada “hak keistimewaan Melayu” yang dituntut oleh UMNO itu.

Oleh itu kejayaan tuntutan hak-hak perkauman (hak keistimewaan Melayu dan hak pendidikan vernikular) ini menjadi begitu sentimental untuk dikorbankan sekarang kerana ia mengimbaskan kenjayaan parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC yang dianggap sebagai hadiah kepada kaum masing-masing. Hak-hak perkauman ini menjadi nostalgia dan inspirasi untuk parti-parti perkauman ini meneruskan perjuangan mereka walau pun hak-hak mereka itu semankin hari semakin tidak releven dengan keadaan semasa negara.

Sebagai Perdana Menteri, Najib tentunya sedar tentang hakikat ini sebab itu beliau mencadangkan kepada orang-orang Melayu supaya jangan lagi bernostalgia tentang kejayaan UMNO ini. Jika UMNO bersedia memansuhkan hak (ekuiti) Melayu dalam ekonomi negara kenapa MCA dan MIC tidak bersedia memansuhkan hak pendidikan vernikular mereka itu demi menjayakan gagasan 1Malaysia??? Adakah mereka masih mahu terus bernostalgia dengan kejayaan parti mereka yang berjaya menuntut hak itu dimasukkan kedalam Perlembagaan sekarang???

Masaalah hubungan kaum ini sebenarnya bukanlah masaalah UMNO saja tetapi adalah masaalah semua parti-parti politik tidak kira dipihak kerajaan mau pun dipihak pembangkang. Jadi UMNO tidak boleh mendomininasi atau membuat keputusan bersendirian mengenai sistem pendidikan negara dengan mengharapkan sokongan padu dari orang-orang Melayu saja. Sebab itu pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan MIC terutamanya perlu menilai semula apakah hak-hak perkauman yang mereka perolehi selama ini masih lagi releven dengan keperluan negara sekarang. Jika kejayaan UMNO memperjuangkan “hak keistimewaan Melayu” itu dianggap sebagai duri dalam daging yang merosakkan hubungan kaum di negara ini, apakah kejayaan MCA dan MIC mengekalkan pendidikan vernikular itu dianggap masih releven dengan aspirasi penyatuan kaum dalam misi gagasan 1Malaysia sekarang???

Sudah tentu kedua-dua hak perkauman (hak keistimewaan Melayu dan hak pendidikan vernikular) ini tidak lagi begitu releven jika kerajaan Barisan Nasional benar-benar berhasrat membina intrigrasi kaum yang lebih mampan bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia ini berjaya. Sebab itu saya masih berpegang kepada “strong political will” untuk menjayakan perpaduan kaum dengan mengubah sistem pendidikan yang sedia ada sekarang. Jika sistem pendidikan ini tidak diubah sampai bila pun Malaysia tidak akan mempunyai maysrakat yang berintrigrasi seperti mana yang diinginkan selama ini.

Sekian, Terima Kasih. Sebarang komen dan perbincangan di alu-alukan.

- Pandangan ini merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi-

Yang benar,

Mohd Fadzil bin Abdul Hanid

Mantan Presiden Penaja Kelab Sahabat 1 Malaysia Sesi 09/10
& juga merupakan
Mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UTHM Sesi 08/09


             " Kemenangan Untuk Perpaduan"

Posted by Media Kampus UTHM on 6:09 PM. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Perjanjian Kerjasama ( MoU) Kelab Sahabat 1 Malaysia UTHM & Biro-Biro Kebudayaan Mahasiswa Tiong Hua, India & Sabah/Sarawak UTHM

Leave comment

Media Kampus@Facebook

Isu Perwira

Selamat Tahun Baru Cina

VIDEO PILIHAN

2010 BlogNews Magazine. All Rights Reserved. - Designed by SimplexDesign