Mahasiswa UTHM Berbudi, berbakti di Kemboja

Berbudi, berbakti di Kemboja





PENDERITAAN umat Islam Kemboja yang hidup dalam serba kesusahan dan kekurangan perlu terus dibantu untuk meringankan beban serta penderitaan yang mereka alami.

Apa yang sedang berlaku di Kemboja mengundang simpati mendalam kepada seluruh rakyat negara ini untuk membantu meringankan keperitan dan kesengsaraan hidup mereka.

Masyarakat Islamnya mendapat pendidikan secara tidak formal seperti mengaji di sekolah-sekolah pondok kebanyakan dikelolakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam dan individu tertentu.

Kedaifan masyarakat Kemboja cukup malang apabila kanak-kanak Islam di sana menghadiri kelas pengajian Al-Quran dengan kemudahan yang amat menyedihkan dan usang.


Biarpun kanak-kanak hanya berkaki ayam atau selipar berselut lumpur tetapi ia tidak mematikan semangat mereka mendalami ilmu agama.

Kebanyakan mereka sanggup hadir ke kelas mengaji Al-Quran dan Muqaddam semata-mata untuk mempelajari ilmu-ilmu asas iaitu ilmu mengurus diri seperti akidah, akhlak, tilawah, hadis dan tafsir.

Itulah gambaran yang menyentuh perasaan setiap insan yang melihat kemiskinan hidup yang mereka lalui.

Malahan bukan itu sahaja, lantai bilik yang hanya beralaskan tanah, kerusi meja yang hampir reput dimakan anai-anai, dinding bilik yang tidak bersimen, tiada kipas dan kemudahan asas lain. Namun bagi mereka, itu bukan penghalang bagi mentelaah ilmu agama.

Baru-baru ini, seramai 10 mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkesempatan mengikuti program Mobiliti Pelajar ke Kemboja.

Mereka terdiri, Mazni Sariff, Mohd Hafiz Ariffin, Ahmad Syouqi Rukaini Said Ramli, Muhamad Aiman Idris, Pua Tiong Eng, Mohd Fadzil Abdul Hanid.


Selain itu, Nik Muhd Afnan Nik Muhd Afandi, Mohd Latifi Mahmood, Fauzul Asrar Osman dan Ansharullah Hassan.

Program ini di ketuai Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin yang turut diiringi pegawai pengurusan tertinggi universiti dan pensyarah pengiring.

Turut serta dalam lawatan itu, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Mejar Jeneral (B) Datuk Md. Ismail Ahmad Khan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Aziz Abdul Samad dan Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar UTHM, Profesor Madya Dr. Asri Selamat.

Ketua Ekspedisi Mobiliti Pelajar Kemboja, Mazni Sariff berkata, program tiga hari dua malam itu mendedahkan mahasiswa UTHM tentang kesusahan yang ditanggung oleh umat Islam terutama di Kampung Choy Metrey Leu, Kemboja.

"Kesusahan mereka bukan lakonan atau dibuat-buat tetapi itulah realiti yang terpaksa mereka hadapi dalam menjalani kehidupan seharian mereka di kampung ini,"katanya.

Mazni yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar berkata, sifat pengorbanan penduduk dan para alim ulama di kampung ini perlu dicontohi apabila menjadi penyumbang di atas usaha meningkatkan syiar Islam dan agama yang suci ini di samping meneruskan kehidupan.


Pada program tiga hari dua malam itu, pelajar mobiliti mahasiswa UTHM turut bersama berpeluang bersama penduduk kampung melakukan aktiviti gotong-royong memasang lantai jubin di Masjid Kampung Choy Metrey, memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah agama.

Selain itu, mereka juga melakukan aktiviti melapah seekor lembu dan enam ekor kambing yang disumbangkan UTHM.

Sumber Tulisan : Helo Kampus, Utusan Melayu 
FB : helokampus@groups.facebook.com 

Sumber Gambar : Mohd Fadzil bin Abdul Hanid 
FB : fadzil_harvard@yahoo.com

Posted by Media Kampus UTHM on 12:13 AM. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Mahasiswa UTHM Berbudi, berbakti di Kemboja

Leave comment

Media Kampus@Facebook

Isu Perwira

Selamat Tahun Baru Cina

VIDEO PILIHAN

2010 BlogNews Magazine. All Rights Reserved. - Designed by SimplexDesign